Monday 25 February 2013


Sejarah dan Media Baharu

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam era globalisasi dunia hari ini membawa pelbagai cabaran baru dalam bidang pendidikan. Penggunaan Internet, salah satu komponen ICT, terutamanya, pada masa kini telah meningkat dengan ketara dan fenomena ini boleh dilihat dari segi penambahan jumlah pengguna di seluruh dunia dan transaksi perniagaan yang dijalankan dalam talian. Pada hari ini, Internet menjadi salah satu alat yang penting dalam bidang pendidikan. Dunia elektronik yang baru ini meningkatkan kemudahan berkomunikasi dan menawarkan peluang mengakses maklumat yang pelbagai sekaligus menawarkan pelbagai peluang pendidikan yang dapat dieksploitasi sepenuhnya.  Melalui alat komunikasi yang disediakan kita boleh dengan segera menghantar dan menerima mel elektronik (emel), mengakses maklumat di World Wide Web (WWW), jurnal elektronik, arkib dalam talian, peta dalam talian dan senarai diskusi elektronik. Pendemokrasian pendidikan yang dibawa oleh perkembangan pesat ICT ini harus dimanfaatkan oleh pendidik Malaysia terutama perubahan positif yang dibawa bersama antaranya peluang berkomunikasi dan membina jaringan antarabangsa dengan para pendidik luar negara.

Pada masa yang sama, pendemokrasian pendidikan juga menggalakkan para pendidik untuk mula menggunakan pendekatan pelbagai disiplin atau antara disiplin (multidisciplinary/cross disciplinary) dalam menjadikan pengajaran dan pembelajaran sejarah lebih menarik. Bagi mencapai tujuan ini, usaha ini memperkenalkan satu pembaharuan dengan menggabungkan kedua-dua disiplin sejarah dan geografi bagi tujuan memperkenalkan pendekatan yang lebih inovatif serta dapat menarik minat pelajar untuk menghayati disiplin ilmu sejarah dengan baik.  Harus diingatkan disini, walaupun pendekatan pelbagai disiplin ditekankan, namun, komponen utama masih merupakan ilmu sejarah berbanding disiplin lain yang membentuk ilmu sampingan bagi melengkapi pengaran dan pembelajaran sejarah.

            Pengunaan teknologi baru ini dalam usaha pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan sejarah masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pendidik di Malaysia. Salah satu contoh terkini adalah penggunaan platform yang disediakan oleh media sosial. Ini termasuk twitter, facebook, LinkedIn, pinterest, blog dan sebagainya.  Media sosial sebenarnya menyediakan satu platform yang amat menarik dan mudah untuk para pendidik berinteraksi dengan pelajar daripada generasi Y yang rata-rata amat selesa dengan penggunaan media baharu ini. Penggunaan media sosial masih belum difahami sepenuhnya oleh para pendidik walaupun ramai yang sering mendengar dan mempunyai pengetahuan mengenai media baharu ini.  Ramai juga yang menggunakan media baharu ini semata-mata untuk tujuan peribadi terutama sekali untuk berhubung dan berinteraksi dengan rakan dan keluarga.  Penggunaan sosial media sekiranya dieksploitasi dengan baik dapat memanfaatkan pengajaran dan pembelajaran sejarah. Namun tidak dinafikan terdapat beberapa aspek dalam penggunaan sosial media yang harus diperhatikan dan dielakkan. 

Internet juga menyediakan ruang untuk menjalankan usaha penyelidikan.  Para pengguna harus bijak memilih laman yang disediakan oleh agensi kerajaan, universiti dan perpustakaan, sekolah termasuk arkib dan muzium di seluruh dunia. Laman yang dibina oleh agensi dan universiti contohnya menyediakan maklumat yang sah dan boleh diguna pakai untuk aktiviti penyelidikan dan penulisan.  Kebanyakan laman web berbentuk interaktif  yang disediakan oleh pihak perpustakaan contohnya, memaparkan beberapa pangkalan data dalam talian (online database). Pengguna dapat mengakses kemudahan elektronik yang disediakan oleh perpustakaan ini dan mencapai pangkalan data dalam talian yang dapat memenuhi keperluan penyelidikan sejarah. Ini termasuklah J-STOR, LEXIS-NEXIS, ProQuest, EBSCOhost dan juga ERIC (Education Resources Information Center). Pangkalan data ini menyediakan pelbagai bahan yang mudah dimuat turun dan dicapai melalui internet.

Di samping itu beberapa arkib di seluruh dunia juga telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada para penyelidik untuk mengakses sumber arkib. Arkib yang banyak menyediakan sumber mengenai sejarah Malaysia contohnya, selain dari Arkib negara Malaysia adalah Arkib Negara U.K. yang terletak di Kew Gardens, London. Di laman web arkib ini, para pengguna dapat mengenal pasti bahan yang ada dan dapat dimanfaatkan untuk usaha penyelidikan. Arkib Negara A.S. juga menyediakan kemudahan yang sama tetapi pihak arkib ini lebih hebat dari segi mendigitasi koleksi dokumen dan surat peribadi dan lain-lain sumber sehingga memudahkan pengguna untuk mengakses dari mana sahaja kita berada. Begitu juga dengan Arkib Negara Singapura dan National Library Board (NLB) di negara tersebut yang banyak mendigitasikan koleksi mereka. Perpustakaan utama ini, contohnya menyediakan akses percuma kepada koleksi surat khabar yang diterbitkan sejak 1831 sehingga 2009 dalam simpanan mereka. Koleksi surat khabar ini termasuk Warta MalayaThe Straits BudgetThe Singapore Free PressThe Straits Times dan juga Sin Chew Jit PohNanyang Siang Pau dan Tamil Murasu.

Kemudahan Internet sebenarnya banyak dapat membantu dalam aktiviti penyelidikan dan penulisan sejarah. Dengan menggunakan enjin carian perpustakaan dan pengguna berjaya mengenal pasti bahan penyelidikan yang disediakan oleh lokasi ini. Ini bererti pengguna dapat mengakses sumber bahan tersebut dalam talian dan sekiranya relevan dengan kajian yang dijalankan pengguna dapat menghubungi pustakawan tersebut melalui e-mail dan memohon agar bahan kajian tersebut dihantar kepada penulis. Perkhidmatan sebegini disediakan oleh kebanyakkan arkib dan perpustakaan di seluruh dunia. Contohnya, setelah menjalankan carian di laman web Arkib Negara U.K. (Public Records Office) yang bertempat di Kew, London, pengguna dapat mengenal pasti sumber yang diperlukan untuk penyelidikan yang sedang diusahakan. Dengan ini, pengguna dapat menghubungi arkivis di situ dan memohon bahan untuk dihantar. Bayaran untuk perkhidmatan ini juga dapat dilakukan dalam talian. Sekiranya, penyelidik mempunyai peruntukkan kewangan untuk pergi ke arkib tersebut menjalankan penyelidikan, masa dapat dijimatkan ketika berada di sana kerana koleksi dan bahan telah dapat dikenal pasti. Proses yang sama dilakukan dapat dilakukan sekiranya pengguna ingin menjalankan penyelidikan di Library of Congress, Washington D.C. dan juga di Arkib Negara A.S. cawangan Maryland.

Bank of England contohnya mempunyai banyak bahan kajian mengenai sejarah Malaysia. Pengguna boleh memohon kebenaran mendapatkan bahan dari Bank tersebut. Walaupun bahan tersebut masih belum lagi mencecah tempoh 30 tahun (tempoh di mana sesuatu dokumen rasmi tidak lagi dianggap sulit atau dokumen deklasifikasi), pengguna boleh memperoleh bahan yang disimpan di bank tersebut dengan menggunakan justifikasi Freedom of Information (FOI). FOI disokong oleh kebanyakan negara Barat termasuk Britain  bertujuan untuk memberi hak kepada orang awam mengakses dokumen rasmi kerajaan. Ini bererti setiap kajian dapat dilakukan sehingga masa terdekat dan tidak perlu menunggu tamatnya tempoh 30 tahun sesuatu peristiwa itu berlalu. Syarat ini pasti dapat merevolusikan kajian Sejarah Malaysia memandangkan bahan kajian mengenai sejarah Malaysia banyak disimpan di Arkib Negara Britain,  Bank of England dan juga British Library yang tertakluk di bawah FOI.

Jelas di sini, segala usaha penyelidikan boleh dilakukan dalam talian dan dengan adanya kemudahan Internet, jarak atau lokasi jauh tidak lagi menjadi halangan besar untuk mengakses bahan penyelidikan.

Selain itu, pengguna boleh menggunakan enjin carian Google yang popular untuk mengenal pasti kajian atau contoh rancangan mengajar yang ada di Internet.  Bagi para sejarawan di universiti contohnya, Google Scholar sering menjadi tumpuan. Ini kerana Google Scholar menyediakan juga bahan lain yang memetik daripada bahan utama yang telah dikenal pasti. Dengan itu, dalam masa yang singkat para pengguna dapat mengenal pasti historiografi terkini kajian yang bakal di jalankan.   Pengguna juga boleh mengenal pasti sarjana atau akademik yang pakar dalam bidang kajian masing-masing dan berusaha mendapat kerjasama daripada sarjana dalam dan luar negara dalam usaha memperoleh bahan kajian yang diperlukan. Pengguna boleh menggunakan e-mail ahli akademik berkenaan melalui Google (iaitu dengan menaip nama mereka) untuk berhubung dengan mereka. Ramai dalam kalangan mereka akan membalas e-mail yang dihantar serta menjawab persoalan yang dikemukakan. Malahan, ada juga yang sanggup menghantar melalui pos atau e-mail bahan kajian yang diperlukan oleh pengguna seperti artikel jurnal.   Kemudahan internet yang disediakan dapat memupuk satu budaya penyebaran dan perkongsian maklumat bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga global.

Selain itu, para pendidik juga harus mengeksploitasi sepenuhnya kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang ditawarkan oleh Internet melalui penggunaan senarai diskusi.  Senarai diskusi menyediakan ruang untuk wacana intelektual mengenai pengajaran dan pembelajaran ilmu sejarah. Pengguna dapat membina satu jaringan global dengan para sarjana dan pendidik yang berminat untuk meningkatkan potensi pendidikan yang ditawarkan oleh Internet.   Pengguna juga dapat mengikuti dengan rapat perkembangan atau aliran historiografi bidang kajian mereka sekiranya melanggan senarai diskusi yang bertepatan dengan bidang kajian masing-masing. Adalah menjadi tanggung jawab setiap pendidik untuk mengenal pasti semua penerbitan yang relevan dengan bidang kajian mereka. Malahan, seorang pendidik digalakkan menyertai seminar dan persidangan peringkat tempatan dan antarabangsa supaya dapat berkongsi pandangan, menerima kritikan membina dan mewujudkan jaringan dengan pelajar serta para akademik yang terlibat dalam bidang penyelidikan yang sama.

Senarai diskusi elektronik menyediakan saluran yang baik dalam mengakses sumber dan membina jaringan global bagi tujuan mewujudkan wacana intelektual bidang pelbagai bidang sejarah. Salah satu yang popular adalah EH.Net. Beberapa organisasi ternama terlibat dengan EH.Net seperti Economic History AssociationBusiness History Conference dan Economic History Society. EH.Net juga menyediakan pelbagai jenis maklumat bagi penulis yang ketika itu merupakan seorang pelajar dan juga pada masa kini sebagai seorang sejarawan perniagaan dan pendidik sejarah. Senarai diskusi ini juga memuatkan koleksi abstrak berkaitan sejarah ekonomi, bibliografi, ulasan buku, pangkalan data, sukatan kursus, direktori dan maklumat mengenai seminar dan persidangan yang akan diadakan di seluruh dunia.

Sementara pembinaan jaringan antarabangsa merupakan satu usaha yang baik, adalah penting juga untuk mengikuti perkembangan wacana intelektual tempatan. Jabatan sejarah di institusi pengajian tinggi awam amat aktif dalam aktiviti keilmuan memajukan disiplin sejarah. Maka, para pendidik sejarah harus menyertai aktiviti ini dalam usaha meningkatkan pengetahuan mengenai ilmu sejarah dan membina jaringan dengan para sejarahwan di universiti.

Sesetengah daripada kalangan masyarakat Malaysia masih menggangap Internet sebagai satu sumber yang tidak boleh dipercayai dan merupakan satu aktiviti yang memakan masa. Walau bagaimanpun, sifat positif harus dipupuk dalam mengeksploitasi kemudahan yang disediakan oleh Internet. Ini kerana Internet merupakan alat yang berharga bagi tujuan pengajaran dan penyelidikan sejarah, ia juga sangat bernilai bagi tujuan pembangunan profesional diri dan menyediakan arah bagi tujuan peningkatan intelektual dan pembangunan diri. Malangnya, di Malaysia sebahagian besar dari pendidik dan pelajar sejarah masih tidak mengetahui atau menggunakan kemudahan dan sumber yang disediakan oleh Internet apatah lagi menggunakannya secara berkesan. 

Hakcipta terpelihara@2013/Shakila Yacob

Maklumat Projek


Maklumat Projek

Pada dasarnya ramai sarjana pendidikan berpendapat bahawa isu yang paling fundamental dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah soal penyampaian dan penerimaan maklumat yang berkesan. Penyediaan maklumat yang sememangnya melimpah sama ada melalui buku ataupun peralatan bantuan mengajar, tidak memadai dalam memastikan penyampaian maklumat dapat dilakukan secara berkesan sekiranya proses memperoleh maklumat tidak memudahkan pengguna, lambat serta penyediaan yang kurang mesra pelanggan. Pada masa yang sama, keberkesanan proses penerimaan turut terhalang bila mana maklumat yang disampaikan didapati tidak menarik, membosankan serta objek maklumat yang tidak dapat dilihat atau didengar.

Bertolak dari pandangan sedemikian, matlamat asas projek ini adalah untuk membantu bagaimana proses pengajaran dan pembelajaran sejarah di peringkat tingkatan lima dapat dilakukan secara lebih inovatif dengan harapan ia dapat memupuk suatu persepsi bahawa sejarah sebenarnya subjek yang sangat menarik untuk dipelajari. Memandangkan subjek sejarah di peringkat sekolah merupakan alat yang sangat penting dalam pembajaan semangat patriotik terhadap negara, maka pendigitalan sukatan  matapelajaran sejarah ditanggap suatu produk yang mampu mencetuskan impak yang signifikan. Untuk itu, penggunaan sukatan matapelajaran sejarah tingkatan lima sebagai ‘bahan asas’ projek ini dilihat amat sesuai memandangkan ia merupakan matapelajaran teras di peringkat sekolah. Selain itu, kepentingannya juga sejajar dengan keputusan kerajaan untuk menjadikan sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam tempoh kesesuaian yang terhampir.

Melalui pendekatan Digital Humanities, kerangka cara projek ini akan menggunakan teknologi pendigitalan melalui rangkaian-rangkaian sosial  popular seperti Facebook, Twitter, blogspot dan Pinterest. Penggunaan rangkaian-rangkaian seumpama ini mampu menyalurkan maklumat sejarah secara lebih interaktif, pantas, menarik, mudah capaian serta mempunyai ruang yang lebih flaksibel bagi penyediaan bahan bukti. Di Eropah dan Amerika Syarikat, pendekatan sedemikian sememangnya sudah menjadi mekanisme yang sangat popular dan berkesan. Berdasarkan laporan European Digital Agenda, Itali pada tahun 2012, dijangka membekalkan 3 juta objek digital untuk tatapan masyarakat Eropah dan antarabangsa.

Di Malaysia, pendekatan Digital Humanities dijangka seharusya mampu menjadi capaian yang sangat berkesan memandangkan penggunaan internet dalam kalangan rakyatnya telah mencecah takatpola yang sangat tinggi. Menurut penyelidikan International Data Corporation (IDC), penggunaan internet di Malaysia  pada tahun 2011 telah menjangkau 16 juta orang dan angka tersebut dijangka akan melonjak kepada 20.4 juta pada tahun 2012. Selari dengan perkembangan tersebut, penggunaan rangkaian-rangkaian sosial turut memberi petunjuk yang sangat memberangsangkan. Pada tahun 2011 sebagai contoh, penggunaan Facebook telah mencecah 11, 816, 200 orang (tempat ke 17 dalam dunia), blog 2.65 juta orang, Pinterest 3.3 juta orang dan Twitter lebih sejuta. 

Ringkasnya, pendekatan Digital Humanities diyakini mampu memberi impak yang sangat signifikan dalam memantapkan penyaluran maklumat sejarah sekaligus mengasuh minat yang mendalam terhadap disiplin sejarah kerana kaedahnya yang sangat innovative, interactive dan attractive. Sekiranya pendekatan sedemikian diberi peluang seluas mungkin bagi dijadikan alat pengajaran dan pembelajaran di sekolah, sejarah sebagai subjek yang membosankan pastinya menjadi suatu mitos yang hanya dipercayai oleh mereka yang sedang mengalami sindrom daif teknologi.


Objektif

Bagi memastikan projek ini dilakukan secara sistematik dan terkawal, hala tuju perjalanannya tertumpu kepada beberapa objektif:

  1. Memupuk kesedaran dalam kalangan guru dan pelajar tentang penggunaan media dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar subjek sejarah menjadi lebih menarik.
  2. Mengenalpasti  dan menilai  tindak balas pengguna (guru dan pelajar) terhadap hasil projek.
  3. Menganalisis permasalahan dan cabaran guru dan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran subjek sejarah.
Metodologi

Untuk mencapai matlamat dan objektif  penyelidikan ini beberapa kaedah akan digunakan.  Kaedah ini  termasuk:-


 1. Heuristik harus digunakan dalam usaha mencari dan mengumpul bahan-bahan yang berkaitan dengan matapelajaran sejarah tingkatan lima.  Bahan-bahan yang dikumpul ini termasuk artikel-artikel, soalan peperiksaan, surat perjanjian, gambar-gambar dan filem-filem.  Bahan-bahan ini akan diperolehi dari arkib, perpustakaan dan koleksi persendirian. Dalam hal ini sukatan pelajaran tingkat lima dan buku teks tingkatan lima akan diguna pakai sebagai asas panduan dalam pengumpulan bahan-bahan ini.

2. Dalam hal ini juga alat sosial media akan digunakan.  Untuk menaik turunkan bahan-bahan ini maka sebuah blog akan direka untuk memudahkan guru-guru dan pelajar-pelajar mendapat bahan-bahan mengenai sejarah tingkatan 5.  Pinterest juga akan digunakan dalam usaha memuat turunkan gambar dan dokumen-dokumen.  Selain dua alat tadi, Twiter akan digunakan untuk memudahkan perhubungan antara pelajar, guru dan webmaster. 

3. Untuk mendekati para guru dan pelajar, satu sesi penerangan akan dibuat di 30 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.  Dalam menjalankan sesi penerangan ini lawatan akan dibuat ke sekolah-sekolah berprestasi tinggi dan sekolah biasa.  Sesi penerangan ini dibuat untuk memaklumkan tentang projek penyelidikan ini, dan seterusnya usaha dibuat untuk menarik seramai mungkin para guru dan pelajar yang akan terlibat dalam projek ini. 

4. Usaha lawatan ke sekolah-sekolah ini terbahagi kepada dua fasa.  Fasa pertama adalah penerangan tentang projek.  Sementara itu fasa kedua adalah untuk mendapat feedback daripada para guru dan pelajar yang mengikut program ini.  Fasa kedua ini penting bagi mengetahui keberkesanan dan kelemahan program digital humanities ini.


Jangkaan Hasil

Projek penyelidikan ini akan cuba menghasilkan beberapa dapatan yang berguna dan  penting untuk menghubung kaitkan aspek humanis dengan teknologi komputer. Antara jangkaan hasil  adalah:

1. Menyediakan satu modul bagi membantu pemantapan pengajaran dan pembelajaran sejarah di peringkat sekolah menengah (tingkatan lima).

2. Membina modul pembelajaran yang terkini. Modul ini membolehkan pelajar mendapat maklumat mudah, menarik dan terkini daripada blog, pinterest dan twiter.

3. Menyediakan tempat rujukan kepada guru yang memerlukan maklumat tambahan tentang sejarah.  Kebanyakan maklumat yang disediakan dalam buku teks bersifat terhad dan kadang-kala mengelirukan.