Maklumat Projek
Pada dasarnya ramai sarjana pendidikan berpendapat bahawa isu yang paling fundamental dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah soal penyampaian dan penerimaan maklumat yang berkesan. Penyediaan maklumat yang sememangnya melimpah sama ada melalui buku ataupun peralatan bantuan mengajar, tidak memadai dalam memastikan penyampaian maklumat dapat dilakukan secara berkesan sekiranya proses memperoleh maklumat tidak memudahkan pengguna, lambat serta penyediaan yang kurang mesra pelanggan. Pada masa yang sama, keberkesanan proses penerimaan turut terhalang bila mana maklumat yang disampaikan didapati tidak menarik, membosankan serta objek maklumat yang tidak dapat dilihat atau didengar.
Bertolak dari pandangan sedemikian, matlamat asas projek ini adalah untuk membantu bagaimana proses pengajaran dan pembelajaran sejarah di peringkat tingkatan lima dapat dilakukan secara lebih inovatif dengan harapan ia dapat memupuk suatu persepsi bahawa sejarah sebenarnya subjek yang sangat menarik untuk dipelajari. Memandangkan subjek sejarah di peringkat sekolah merupakan alat yang sangat penting dalam pembajaan semangat patriotik terhadap negara, maka pendigitalan sukatan matapelajaran sejarah ditanggap suatu produk yang mampu mencetuskan impak yang signifikan. Untuk itu, penggunaan sukatan matapelajaran sejarah tingkatan lima sebagai ‘bahan asas’ projek ini dilihat amat sesuai memandangkan ia merupakan matapelajaran teras di peringkat sekolah. Selain itu, kepentingannya juga sejajar dengan keputusan kerajaan untuk menjadikan sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam tempoh kesesuaian yang terhampir.
Melalui pendekatan Digital Humanities, kerangka cara projek ini akan menggunakan teknologi pendigitalan melalui rangkaian-rangkaian sosial popular seperti Facebook, Twitter, blogspot dan Pinterest. Penggunaan rangkaian-rangkaian seumpama ini mampu menyalurkan maklumat sejarah secara lebih interaktif, pantas, menarik, mudah capaian serta mempunyai ruang yang lebih flaksibel bagi penyediaan bahan bukti. Di Eropah dan Amerika Syarikat, pendekatan sedemikian sememangnya sudah menjadi mekanisme yang sangat popular dan berkesan. Berdasarkan laporan European Digital Agenda, Itali pada tahun 2012, dijangka membekalkan 3 juta objek digital untuk tatapan masyarakat Eropah dan antarabangsa.
Di Malaysia, pendekatan Digital Humanities dijangka seharusya mampu menjadi capaian yang sangat berkesan memandangkan penggunaan internet dalam kalangan rakyatnya telah mencecah takatpola yang sangat tinggi. Menurut penyelidikan International Data Corporation (IDC), penggunaan internet di Malaysia pada tahun 2011 telah menjangkau 16 juta orang dan angka tersebut dijangka akan melonjak kepada 20.4 juta pada tahun 2012. Selari dengan perkembangan tersebut, penggunaan rangkaian-rangkaian sosial turut memberi petunjuk yang sangat memberangsangkan. Pada tahun 2011 sebagai contoh, penggunaan Facebook telah mencecah 11, 816, 200 orang (tempat ke 17 dalam dunia), blog 2.65 juta orang, Pinterest 3.3 juta orang dan Twitter lebih sejuta.
Ringkasnya, pendekatan Digital Humanities diyakini mampu memberi impak yang sangat signifikan dalam memantapkan penyaluran maklumat sejarah sekaligus mengasuh minat yang mendalam terhadap disiplin sejarah kerana kaedahnya yang sangat innovative, interactive dan attractive. Sekiranya pendekatan sedemikian diberi peluang seluas mungkin bagi dijadikan alat pengajaran dan pembelajaran di sekolah, sejarah sebagai subjek yang membosankan pastinya menjadi suatu mitos yang hanya dipercayai oleh mereka yang sedang mengalami sindrom daif teknologi.
Objektif
Bagi memastikan projek ini dilakukan secara sistematik dan terkawal, hala tuju perjalanannya tertumpu kepada beberapa objektif:
- Memupuk kesedaran dalam kalangan guru dan pelajar tentang penggunaan media dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar subjek sejarah menjadi lebih menarik.
- Mengenalpasti dan menilai tindak balas pengguna (guru dan pelajar) terhadap hasil projek.
- Menganalisis permasalahan dan cabaran guru dan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran subjek sejarah.
1. Heuristik harus digunakan dalam usaha mencari dan mengumpul bahan-bahan yang berkaitan dengan matapelajaran sejarah tingkatan lima. Bahan-bahan yang dikumpul ini termasuk artikel-artikel, soalan peperiksaan, surat perjanjian, gambar-gambar dan filem-filem. Bahan-bahan ini akan diperolehi dari arkib, perpustakaan dan koleksi persendirian. Dalam hal ini sukatan pelajaran tingkat lima dan buku teks tingkatan lima akan diguna pakai sebagai asas panduan dalam pengumpulan bahan-bahan ini.
2. Dalam hal ini juga alat sosial media akan digunakan. Untuk menaik turunkan bahan-bahan ini maka sebuah blog akan direka untuk memudahkan guru-guru dan pelajar-pelajar mendapat bahan-bahan mengenai sejarah tingkatan 5. Pinterest juga akan digunakan dalam usaha memuat turunkan gambar dan dokumen-dokumen. Selain dua alat tadi, Twiter akan digunakan untuk memudahkan perhubungan antara pelajar, guru dan webmaster.
3. Untuk mendekati para guru dan pelajar, satu sesi penerangan akan dibuat di 30 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Dalam menjalankan sesi penerangan ini lawatan akan dibuat ke sekolah-sekolah berprestasi tinggi dan sekolah biasa. Sesi penerangan ini dibuat untuk memaklumkan tentang projek penyelidikan ini, dan seterusnya usaha dibuat untuk menarik seramai mungkin para guru dan pelajar yang akan terlibat dalam projek ini.
4. Usaha lawatan ke sekolah-sekolah ini terbahagi kepada dua fasa. Fasa pertama adalah penerangan tentang projek. Sementara itu fasa kedua adalah untuk mendapat feedback daripada para guru dan pelajar yang mengikut program ini. Fasa kedua ini penting bagi mengetahui keberkesanan dan kelemahan program digital humanities ini.
Jangkaan Hasil
Projek penyelidikan ini akan cuba menghasilkan beberapa dapatan yang berguna dan penting untuk menghubung kaitkan aspek humanis dengan teknologi komputer. Antara jangkaan hasil adalah:
1. Menyediakan satu modul bagi membantu pemantapan pengajaran dan pembelajaran sejarah di peringkat sekolah menengah (tingkatan lima).
2. Membina modul pembelajaran yang terkini. Modul ini membolehkan pelajar mendapat maklumat mudah, menarik dan terkini daripada blog, pinterest dan twiter.
3. Menyediakan tempat rujukan kepada guru yang memerlukan maklumat tambahan tentang sejarah. Kebanyakan maklumat yang disediakan dalam buku teks bersifat terhad dan kadang-kala mengelirukan.
No comments:
Post a Comment